
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua . Admin ingin berkongsi mengenai Majlis Pelantikan Teraju Muda yang telah berlangsung baru-baru ini.
Program ini merupakan satu pendekatan yang digunakan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada murid-murid yang berjaya dipilih sebagai pemimpin murid sekolah bagi tahun 2023. Pelantikan ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan kepada mereka tetapi juga memberi tanggungjawab yang lebih besar kepada mereka dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Tujuan program ini adalah untuk menggilap bakat dan kebolehan memimpin dalam kalangan murid. Selain itu, program ini juga mendedahkan murid dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi memimpin dan mengurus rakan sebaya. Sifat toleransi, hormat menghormati serta kesediaan memberi kerjasama juga diajar dalam program ini kepada murid-murid agar dapat membentuk sikap yang positif dalam kalangan mereka.
Melalui program ini, murid-murid akan diajar untuk menanamkan sifat daya tahan yang tinggi dalam diri mereka. Hal ini amat penting bagi memastikan barisan kepimpinan murid sentiasa kuat dan mampu menghadapi cabaran yang dihadapi oleh mereka.
Pihak sekolah berharap program Majlis Pelantikan Teraju Muda ini dapat memberi manfaat yang besar kepada semua murid yang terlibat dalam program ini dan dapat membentuk pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab dan beretika tinggi.
Tahniah diucapkan kepada semua yang dilantik.